Log in
Berani dalam Benar : Berapa lagi nyawa pelajar perlu dikorbankan?
Dzulkifli Abdul Razak
Berani dalam Benar: Berapa lagi nyawa pelajar perlu dikorbankan?
Selepas pemergian allahyarham Tun Dr Hasmah yang menyayat hati negara secara mengejut, kita dikejutkan lagi dengan pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Yong Peng beberapa hari selepas itu. Sememang tiada perbandingan antara kedua kes ini, sekadar pemergian yang tidak dijangka. Bagi bonda Hasmah, orang paling rapat dengannya mengakui sedemikian rupa. Apakan daya! Tuhan menyayanginya. Kita iringkan doa restu agar rohnya di Rahmati jua sebagai seorang yang solehah, sebagai anak, isteri, ibu, pemimpin, serta berbagai watak yang wajar teladani. Amiin. Insyaallah!
Namun bagi pelajar yang turut pergi, usianya terlalu muda untuk diperkatakan. Mungkin bakal meneladani Srikandi negara generasi muda! Tidak munasabah jika usianya tidak diragut keganasan yang amat durjana. Jasadnya terdampar berlumur darah didewan sebuah sekolah menengah Yong Peng, Johor. Badan dan kepalanya dilapor cedera. Seorang pelajar lelaki sudah dikesan dan disiasat. Sementara itu seruan dibuat agar kes disegerakan, secara telus, rapi tanpa berlengah untuk menentukan sebab sebenarnya! Yang berkaitan wajar bergegas kerana tiada pilihan lain dalam menyelesaikan kes kematian siapa sahaja. Ini hak mereka. Jangan terpalit politik sempit pula!


Kita masih teringat akan satu kes di Sabah pada tahun lalu, melibatkan seorang pelajar, juga perempuan, yang lebih muda, disyaki mengalami keganasan dan kekejaman! Terjumpa meninggal berdekatan “longkang” – disahkan “mati mengejut” tanpa apa-apa bedah siasat dilakukan, melainkan selepas didesak berbuat demikian oleh suara ramai. Hatta, kes ini didakwa memberi gambaran yang amat mengecewakan berbanding kes-kes lain seumpamanya, sehingga tercetusnya gerakan “keadilan” yang menular dengan ribuan serba kaum berkumpul dibandar-bandar menyuarakan kekesalan serta kemarahan atas kelalaian seolah-olah sambil lewa.

Mengikut laporan polis ada juga perhimpunan anjuran gabungan 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlangsung secara aman dan penuh emosi di tempat-tempat lain. Malah pihak Kementerian dan Menteri mendapat kritikan hebat sehingga ada yang mendesak untuk “meletakkan” jawatan atas kegagalan dan tidak telus dalam banyak peristiwa! Sedangkan pada 18 Julai tercatat tanggal bahawa Menteri Pendidikan memberi jaminan kerjasama penuh kepada pihak polis untuk siasatan telus. Namun tidak kesampaian. Jadi, pada, 9 Ogos pula, Perdana Menteri ulang tayang memberi jaminan siasatan telus tanpa kompromi. Juga sepi, walaupun proses penggalian semula jenazah untuk di bedah siasat dijalankan segera hasil tekanan rakyat.
Dalam pada itu, tuduhan penglibatan tangan-tangan tertentu mula muncul akibat kelewatan bertindak, memburukkan lagi keadaan dengan lunturnya rasa percaya kepada pihak berkuasa, khasnya gara-gara politikus cabuk, tidak berhati perut berbagai deretan. Kini kes anak malang tersebut masih belum selesai sungguhpun lebih 70 saksi terlibat. Semua ini menunjukkan betapa rumit serta “tertutupnya” penelitian kes itu kepada umum, seakan-akan ada yang hendak dihindarkan oleh pihak tertentu khususnya watak-watak terpilih. Kalau dalam soal kematian masih ada ruang berdolak-dalik, ramai tertanya-tanya dimana terletaknya asas prinsip etika dan moral yang dianjurkan dalam pendidikan untuk menjamin kebenaran tidak tersongsang dengan sengaja! Apa jaminannya?
Kita diperingatkan dalam Parlimen minggu ini (Okt 6) bahawa lebih 5,500 kes penderaan berlaku antara Januari dan Ogos tahun ini sahaja diseluruh negara. Angka ini biasanya lebih tinggi kerana ada yang tidak melapor atas sebab tertentu! Nah, ini sahaja sudah menggusarkan akan berkaitan jaminan ketelusan dalam menyelesaikan setiap satu.
Dengan kata lain, mereka yang tidak layak memegang “amanah” yang beri, harus segera memulangkannya semula kepada rakyat yang sudah hilang kepercayaan. Ini perlu ditekankan sebagai usaha menjamin bahawa ia tidak terus berulang lagi bagi makhluk tidak berdosa yang lain! Bala keatas pecah amanah tidak akan tamat selagi yang terlibat tidak insaf akan kecuaian dirinya, dan membawa mudaratnya tersendiri. Celaka juga kesudahannya. Tunggu sahajalah!
Apa yang jelas, masyarakat kini semakin peka terhadap isu keselamatan pelajar dan kadar keganasan serta pendarahan yang terus meningkat berlaku secara senyap, sulit dan tersorok. Sebagai masyarakat yang cukup bertanggungjawab, kita mesti lebih berani bersuara dan bertindak atas kebenaran untuk menjadikan ruang sekolah benar-benar terbina untuk menyuburi nyawa kurniaan Ilahi, bukan sebaliknya, baik kepada sesiapa pun. Tidak putus-putus diselubungi dengan berbagai helah itu dan ini. Tidak memadai dengan hanya suara lantang dan mata terbeliak!
Contoh, laporan berita terkini merujuk kepada seorang ibu serta kakak seorang pelajar perempuan 16 tahun yang terbunuh ditikam tahun lalu di sekolah menengah Bandar Utama telah mengambil langkah menyaman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mengikut peguam keluarga tersebut. Antara yang dinamakan adalah beberapa agensi kerajaan, dan ibu bapa pelajar yang disyaki membunuh. Mengikut ibu mangsa, “kenyataan serta perancangan berkobar-kobar tidak mencukupi. Kita tidak dapat tunggu sehingga lebih banyak nyawa hilang mendahului tindakan sewajarnya dilaksanakan.” Sambungnya: “Dengan meningkatnya cabaran kesihatan mental oleh anak-anak kita, kita tidak boleh memilih untuk berdiam lagi.”


Turutnya lagi, pembunuhan bersabit boleh dihalang jika pihak berkenaan mengambil langkah sesuai, terutama berkaitan isu kesihatan mental di kalangan para pelajar. Saman yang dibuat adalah untuk menentukan sama ada kematian anaknya boleh dielakkan, baik oleh kerajaan, yang tertuduh, serta ibu bapanya yang sepatutnya dipertanggungjawabkan dari segi perundangan.
Jadi cukup, cukuplah, cakap-cakap tak serupa bikin, membawa akibat yang didakwa sebagai kegagalan dalam melindungi keselamatan pelajar di sekolah. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berulang lagi untuk mana-mana keluarga pun sekalipun. Lantas, badan berwibawa seperti Suhakam turut menuntut supaya persekitaran sekolah dipugar keseluruhannya. Masanya telah tiba untuk

"reformasi" (?) bagi mehentikan mayat yang tidak berdosa bergelimpangan selepas sekian lama. Berapa banyak lagi nyawa perlu digadaikan oleh pihak berkenaan sebelum merehatkan seseorang itu dari jawatan yang dizaliminya! Jadi, selepas Yong Peng, siapa pula? Dengan mengutarakan soal ini baharu dapat kita meletakkan hak para pelajar pada tempat teratas tanpa ada dolak dalik. Kalau pihak berkenaan merasa sukar menjawabnya, lebih baik berundur dengan terhormat atas keinsafan sendiri seperti mana berlaku di negara-negara lain. Hanya di Malaysia ini tidak berlaku sebagai satu amanah terpenting yang tiada tolak ansurnya.
Sementara itu, bermuhasabah dan renungkanlah langkah selayaknya dengan penuh tanggungjawab sebagai para pendidik yang tebal bermaruah diri sendiri bagi umur yang bersia! Agar usaha kita tidak sia-sia belaka!