Log in
Berani dalam Benar : 17 Oktober 2025 - Pengajaran yang tidak dapat dilupakan
Dzulkifli Abdul Razak
Berani dalam Benar: – Pengajaran yang tidak dapat dilupakan
Dalam pengembaraan ilmiah hampar setengah abad di Malaysia dan antarabangsa, berbagai pengalaman pahit manis dilalui untuk mematangkan diri melaluinya. Semenjak menjadi siswa lagi, ia menjadi satu Impian kerana kita dimaklumkan bahawa mencari ilmu itu adalah ibadah, dan mengamalkannya menjadi satu-satu tonggak yang tidak dapat tidak mesti dilakukan untuk mendapat keberkatan dan barakah dari kejujuran berilmu. Ini bukan mudah kerana dunia ilmu tidak terdorong arah ini! Rentaknya lebih kepada untuk menjadi sarjana, pakar dan yang ternama dalam satu-satu bidang pengkhususan supaya dikenali ramai. Pelbagai gelaran dan pengiktirafan diraih sebagai tanda kejayaan melalui beberapa kaedah yang “dihalalkan” – kadang kala matlamat menghalalkan cara, mengenepikan soal-soal nilai, akhlak serta adab. Walaupun sering diperkatakan, namun kurang diamalkan. Seolah-olah cakap tidak serupa bikin!

Tanggal 17 Oktober lalu, menjadi renungan selepas begitu lama berhempas pulas untuk menjadikan ilmu wadah perjuangan untuk membangunkan masyarakat yang rata-rata tercicir, apabila yang berilmu taksub dengan kejayaannya dan tidak pula melimpah kepada masyarakat sebagai medan perjuangan tersebut. Keciciran ini nampak jelas apabila wabak Covid 19 muncul dan hampir semua aktiviti pendidikan terencat tidak dapat tidak. Anehnya, ilmu yang ditagih selama ini hampir tidak dapat membantu sepenuhnya apabila jutaan mati akibat jangkitan pandemik yang meratah nyawa manusia, khasnya di negara kaya raya seperti di dunia barat! Jika dunia lain mengalami yang sama tidak menghairankan kerana kurang ilmunya, mengapa pula barat tersungkur dalam kancah pandemik tersebut? Keghairahan berilmu rupanya tidak memadai jika tidak diamalkan dengan betul untuk mencapai keberkatan dan barakah yang dikandung secara luhur lagi bijaksana. Secara peribadi peristiwa 17 Oktober membawa risalah ini dengan jelas dan nyata.
Namun, ia bukan kali pertama berlaku. Dua contoh. Semasa mengemudi sebuah universiti di utara, pengalaman didatangi oleh beberapa makhluk pernah berlaku berkaitan seorang kakitangan yang dipindahkan dari tempat kerjanya kepada tempat baharu! Pemindahan tersebut dilakukan untuk menangani masalah rasuah yang berkaitan, dan ternyata makhluk tersebut berkaitan dengan aktiviti berkenaan, dan terkesan dengan perubahan yang diambil. Berapa ugutan dibuat yang berkehendakan kawalan rapi oleh pihak berwajib bagi mengelakkan berlakunya perbuatan yang tidak diingini. Alhamdulillah, Ilahi restuinya.
Sebelum itu, berlaku ugutan melalui telefon dari orang yang mewakili sektor tembakau kerana dia mengancam berlaku “kasar” sekira aktiviti anti-tembakau tidak dihentikan oleh universiti melalui sebuah pusat pakar dalam hal ini. Khasnya apabila mendapat sokongan badan-badan dunia dan serantau untuk menyelamatkan generasi muda dari aktiviti merokok dan menjadi penagih tembakau yang bakal menghadapi berbagai masalah kesihatan serta kehidupan apabila usianya meningkat kelak. Sayugia diingatkan bahawa tembakau dikenali sebagai “gerbang dadah merbahaya” yang menghantui negara sejak 50 tahun lalu bermula dengan aktiviti merokok pada usia dibangku sekolah lagi. Tidak ubah dengan apa yang berlaku dengan penggunaan vape sejak ia dibebaskan dari Senarai Racun pada April 2023. Maksudnya, mereka terdedah kepada pelbagai bahan merbahaya dan ketagihan tanpa ada apa-apa sekatan seperti mana tembakau sebelum dikawal ketat di peringkat antarabangsa. Anehnya vape terlepas (lebih tepat lagi, dilepaskan) dari kawalan yang sama! Sedangkan aktiviti kawalan tembakau pada amnya “berjaya” mendidik masyarakat di peringkat banggu sekolah hasil perkongsian dan amalan ilmu yang ada secara berterusan dan meluas ekoran dasar-dasar yang tepat dan berani. Alhamdulillah. Semoga vape juga dapat dibanteras secara yang sama.


Namun, peristiwa 17 Oktober berbeza apabila berlakunya tumpah darah yang memerlukan 16 jahitan di kepala. Ini juga melibatkan senjata api yang diacukan kemuka secara mengejut dalam laman rumah sendiri. Ini dilaporkan media sebagai cubaan “merompak” pada pagi hari! Yang agak sukar difahami adalah si perompak tersebut apabila mengacukan senjata apinya, tidak memberi apa-apa “arahan” atau “tuntutan” untuk melaksanakan hasrat rompakannya! Hanya membisu, dan kemudian menghentak bucu senjata api berkenaan ke kepala sebanyak tiga kali sehingga baju berlumuran darah. Selepas itu melarikan diri kedalam longkang besar berdekatan tanpa bantuan kenderaan yang dibawanya, atau orang lain untuk menyelamatkannya serta bahan rompakan yang patut diperolehinya. Apatah ia berlaku selepas kembali dari masjid, bukan pusat-pusat perdagangan yang lebih sering melibatkan wang atau bahan-bahan yang sesuai untuk di rompak!
Dengan kata lain, “perompak” tersebut agak kurang bersedia, ataupun mungkin bukan bertujuan untuk “merompak” – lebih kepada mengugut atas sebab yang tertentu. Pihak bertanggungjawab telah menjalankan tugas dengan baik apabila bertindak hampir serta merta di kawasan kejadian selepas dihubungi 911 ekoran peristiwa itu untuk mencari bukti-bukti yang ada. Ini kemudiannya termasuk melakukan beberapa kali kawad cam, dan meneliti puluhan gambar secara bersemuka dan talian dalam usaha mengenal pasti makhluk terlibat. Namun, selepas setahun, masih belum ada apa-apa susulan dalam hal ini. Maksudnya, berbagai persoalan yang masih timbul dalam pemikiran khasnya berkaitan keselamatan dalam dunia ilmu itu sendiri serta soal berkaitan.
Apapun ia agak lumrah kerana di peringkat dunia wujud apa yang dipanggil sebagai “Scholars at Risk” – Sarjana menghadapi Risiko, menandakan bahawa dunia ilmu dan pengamalnya tidak terkecuali dan terpanggil untuk bertindak atas dasar ilmu untuk kebaikan ramai, walaupun ia membawa risiko tersendiri dari berbagai sudut, baik di mana sahaja atau sesiapa sahaja.

Mengugut dalam dunia ilmiah bukannya satu perkara baharu selagi adanya mereka yang merasa tergugat dengan perjalanan menegakkan ilmu, sama ada kerana tidak memahaminya ataupun otak dan watak tidak selari, apatah lagi hati nurani! Semoga Ilahi melindungi jua.